
Afterschool
September 19, 2016
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menawarkan tempat kepada 128 calon pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah iaitu RM3,000 ke bawah dan miskin untuk menyambung pengajian Sarjana Muda melalui kemasukan laluan khas yang disediakan pihak universiti.
Program kemasukan laluan khas kepada isi rumah di bawah RM3,000 ini dikenali sebagai golongan bawah 40 peratus (B40) telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi untuk dilaksanakan Universiti Awam (UA).
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) juga memperkenalkan program dwi ijazah bermula sesi akademik 2016/2017 di Dewan Tuanku Canselor universiti itu sebagai menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dalam menyediakan keperluan pendidikan fleksibel kepada mahasiswa.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM, Prof. Dr. Zulkiple Abd. Ghani berkata, tahun ini universiti itu menawarkan tiga program dwi ijazah kepada pelajar yang berkelayakan.
“Mereka akan diberi tawaran pada semester lima untuk menyambung pengajian ke program ijazah kedua berdasarkan pencapaian serta kelayakan akademik. Tempoh pengajian adalah lima tahun iaitu dua tahun program ijazah pertama dan tiga tahun berikutnya untuk mendapatkan ijazah kedua.
“Selain memenuhi keperluan pasaran dalam bidang profesional, USIM berhasrat untuk menyediakan pelajar dengan disiplin berganda dalam memantapkan ilmu agama serta fokus kepada menghafaz 30 juzuk al- Quran,” katanya.
Program yang ditawarkan dwi ijazah ialah Ijazah Sarjana Muda Kaunseling dengan Ijazah Sarjana Muda Quran dan Sunnah; Ijazah Sarjana Muda Sains (Bioteknologi Makanan) dengan Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa serta Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan dan Jaminan Maklumat) dengan Ijazah Sarjana Muda Quran dan Sunnah.