
Afterschool
January 25, 2017
Ramai yang memandangkan sepi dan tidak bersetuju dengan pelaksanaan program gap year yang bakal dilaksanakan bermula pada bulan september kelak. Ada yang hilang minat untuk sambung ke peringkat ijazah, ada juga diantaranya yang menganggap ianya membuang masa dan sebagainya. Namun, masih ada juga yang berfikiran positif dan mahu untuk memohon program itu. Walau apa sekali pun pandangan anda, kami menerimanya kerana itu adalah hak individu.
Menerusi artikel perkongsian kami yang terdahulu, kami telah berkongsi kelebihan sekiranya anda memohon untuk program gap year. Bagi anda yang belum lagi membaca mengenai kelebihannya, anda boleh klik di sini. Bagi perkongsian kali ini, seperti mana yang telah dijanjikan iaitu siri kedua, kami kongsikan pula kontranya jika anda memohon program gap year.
Kami tahu majoriti dalam kalangan anda, perkara utama yang terfikir ketika menyambung pengajian terutamanya ke peringkat yang lebih tinggi adalah peluang kerjaya yang lebih luas, gaji yang lumayan, memiliki kehidupan yang selesa, membeli apa sahaja yang diinginkan selain ingin membantu meringankan beban keluarga dan sebagainya. Jadi sebolehnya untuk mencapai impian tersebut, anda ingin menamatkan pengajian dengan kadar yang segera. Hal ini terbukti kerana ramai yang bertanyakan kepada kami, laluan manakah yang paling cepat untuk mendapatkan segulung ijazah.
Namun, jika anda memohon program gap year ini, tentu sahaja akan membantutkan hasrat itu kerana tempoh program berkenaan dijangka akan mengambil masa selama setahun. Lama bukan?. Jadi, sekiranya anda ingin menamatkan pengajian dengan cepat, sangatlah tidak berbaloi. Pengajian yang sepatutnya mengambil masa selama 4 tahun menjadi 5 tahun manakala bagi program 5 tahun seperti program pengajian perubatan ianya menjadi 6 tahun. Jika ada dalam kalangan anda yang ingin menyambung pengajian ke peringkat sarjana masters, sekurang-kurang 2 tahun lagi masa diperlukan untuk menamatkan pengajian dan ke peringkat seterusnya. Setelah dikira-kira, sekurang- kurangnya 10 tahun juga diperlukan untuk menamatkan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi. Itu belum lagi jika anda memohon ijazah dengan menggunakan kelulusan sijil diploma. Tentu sahaja akan memakan masa yang lebih lama.
Maka, soalan kami, bila masanya anda hendak membayar ribuan hutang pinjaman itu?, bila masanya anda hendak mengumpul duit?, berkahwin?, membantu keluarga dari segi bantuan kewangan? dan sebagainya. Kami kira, panjang artikel ini jika hendak menyenaraikan semuanya sekali. Namun, kami tidaklah mengajak anda untuk mempertikaikan rezeki kurniaan Ilahi, cumanya setiap orang dilahirkan dalam keadaan yang bukan semuanya hidup senang. Ada di antaranya anak sulung yang tentunya memikul tanggungjawab besar untuk membantu meringankan beban ibu ayah. Jadi, mereka mahu menamatkan pengajian dengan cepat, mencari pekerjaan seterusnya membantu keluarga. Ini adalah terletak pada sudut pandangan individu. Kita pun bukan dilahirkan lengkap segala serbi, jadi jangan samakan kehidupan kita dengan orang lain kerana lain orang lain ujian hidupnya.
Jika sudah lambat menamatkan pengajian, maksudnya lambat juga anda akan membayar hutang pinjaman pendidikan. Cuba anda bayangkan sekiranya anda melanjutkan pengajian bermula dari peringkat diploma. Di peringkat pengajian diploma tentunya anda akan membuat pinjaman pendidikan, kemudian anda melanjutkan ke peringkat ijazah, anda perlu meminjamnya lagi. Jadi berapa jumlah pinjaman pendidikan yang terkumpul?. Maunya lebih daripada 40k. Itu jika menyambung pengajian di universiti awam, jika ke institusi swasta, berapa agaknya?, tentu saja lebih daripada itu. Mau tidak kejungnya nak membayar hutang itu. Belum tamat pengajian lagi anda sudah mengumpul hutang, kemungkinan juga akan diisytiharkan bankrap akibat hutang yang melampau. dan tidak mampu untuk membayarnya.
Namun, hakikat itu perlu dihadapi oleh kebanyakkan orang. Tiada pilihan lain kecualilah pengajian anda ditanggung oleh ibu bapa. Jadi bersyukurlah kepada anda yang pengajiannya ditanggung oleh keluarga. Sungguh pun begitu, kami yakin bahawa majoriti dalam kalangan anda menanggung sendiri pengajian dengan membuat pinjaman pendidikan. Maka, sekiranya anda lambat menamatkan pengajian, bilakah hutang anda akan langsai?. Tambahan pula sekarang, majoriti graduan disenarai hitam oleh badan pinjaman pendidikan kerana gagal membayar hutang akibat masih lagi tidak ditawarkan sebarang pekerjaan. Apabila berlaku keadaan seperti ini, mereka tidak boleh membuat pinjaman kewangan lain untuk membeli aset seperti kereta, rumah dan sebagainya selepas memperolehi pekerjaan. Suka diingatkan juga, tempoh masa yang lama juga akan diambil untuk membersihkan nama anda di dalam sistem, walaupun anda sudah sepenuhnya bebas daripada hutang itu. Anda tidak percaya tetapi itulah kenyataan yang perlu dihadapi.
Cuti semester selama 3 bulan yang dilalui sebelum ini sahaja anda sudah lemau, tidak bersemangat, inikan pula tempoh setahun. Kenyataan ini ditujukan kepada mereka yang mudah hilang fokus dalam pengajian. Jika anda bukan merupakan salah seorang daripada kalangan yang diperkatakan ini abaikan sahaja, dan anda boleh pertimbangkan untuk mengikuti program gap year tetapi, jika anda merupakan salah seorang daripadanya, sangat tidak digalakkan untuk mengikuti program gap year ini.
Situasi ini kebiasaanya berlaku kepada pelajar yang memohon pekerjaan sambilan sepanjang cuti semester. Mereka bekerja dan menjana pendapatan sendiri. Kadang kala ada di antaranya yang menjadi malas untuk kembali semula ke alam pengajian. Tempoh 3 bulan itu sahaja sudah mampu menghilangkan fokus mereka dalam pengajian, inikan pula setahun. Cuba anda bayangkan, apakah kemungkinan yang akan berlaku?.
Disamping itu juga, kami yakin ada juga antara mereka yang sudah lupa apa yang diajarkan pada pengajian tahun pertama sebelum ini. Apa orang cakap, otak sudah tepu. Kemungkinan ianya bakal terjadi kepada anda juga. Tetapi sekiranya, anda bukan jenis manusia seperti itu, tiada apa yang perlu dirisaukan. Nikmati sahaja tempoh gap year itu dengan aktiviti bermanfaat, mungkin sesuai dengan bidang pengajian anda. Oleh itu, anda tidak akan hilang fokus dan lebih bersemangat untuk meneroka bidang pengajian ada di alam realiti kemudian membuat perbandingan antara teori ketika belajar di universiti, adakah ianya sama seperti mana praktikal di alam nyata. Dengan itu, anda boleh membuat persediaan awal sebelum melangkah ke alam pekerjaan yang sebenar kelak.
Bagi anda yang sudah tidak sabar-sabar untuk memohon program gap year ini, pastikan anda mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada keluarga. Kami yakin majoriti dalam kalangan anda tentunya akan mendapat bantahan daripada keluarga. Ini kerana, ibu bapa anda tentunya mahu anda menamatkan pengajian dengan kadar segera dan mengapai impian anda. Bagi mereka, tempoh gap year itu nanti akan terbuang begitu sahaja.
Seandainya ibu bapa anda berkata begitu, lupakan sahaja niat anda untuk memohon gap year. Ini kerana, mereka lebih mengenali anda dan kadang kala lebih daripada anda mengenali diri anda sendiri. Oleh itu, pastikan anda bertanyakan dahulu kepada ibu bapa masing-masing mengenai pendapat mereka. Walau bagaimanapun, sekiranya anda ada alasan yang kukuh, sudah tentu mereka membenarkan anda memohon program ini, jika anda sendiri tidak tahu apa perancangan selepas memohon gap year, tentu sahaja mereka tidak akan menyokongnya.
Sebenarnya banyak lagi risiko yang mungkin dihadapi. Jika hendak menyenaraikan semuanya, jemu pula anda hendak membacanya. Walau apa sekali pun, pendapat ini tidaklah seratus peratus akan berlaku kepada anda. Ianya bergantung kepada perjalanan hidup seseorang. Kami tidak mempengaruhi anda untuk memohon atau menolak program gap year ini. Kami hanya buatkan anda terfikir sahaja. Anda sudah cukup dewasa untuk memikirkan mana yang baik atau sebaliknya. Apa pun risiko yang berlaku, anda yang perlu menghadapinya. Jadi buat pilihan sendiri supaya kemudian hari anda tidak menyalahkan orang lain atas keputusan yang dibuat. Nasihat kami, jangan terikut-ikut dengan rakan anda, tentukan sendiri hala tuju masing-masing. Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak membuka minda anda untuk berfikir sama ada program ini berbaloi atau sebaliknya.