
Afterschool
September 26, 2016
Kira-kira 1.3 juta peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) akan disenaraikan di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), di mana ia akan memberi kesan kepada penarafan kredit jika mereka gagal membayar pinjaman pelajaran pada masa yang ditetapkan.
Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata, sebaik sahaja disenaraikan dalam CCRIS, penarafan kredit seseorang mungkin akan 'jatuh menjunam' apabila seseorang itu dianggap tidak membuat atau menunjukkan rekod pembayaran dengan baik.
Ini boleh membawa kepada institusi kewangan mengambil langkah menafikan pinjaman mereka atau kemudahan kredit lain.
Beliau menambah, semua peminjam PTPTN akan disenaraikan dalam CCRIS sebaik sahaja tiba masanya untuk mereka mula membuat pembayaran balik, iaitu enam bulan selepas tamat pengajian.
Sejak penubuhannya, beliau berkata seramai 1.2 juta peminjam sama ada telah membayar sepenuhnya atau telah membayar pinjaman mereka.
Selain menggunakan CCRIS, PTPTN juga menjejaki peminjam dengan memasukkan nama mereka dalam senarai Jabatan Imigresen orang yang dilarang ke luar negara, yang bermula pada tahun 2008.
Sehingga kini, 111,001 orang telah disekat daripada pergi ke luar negara kerana mereka gagal membuat pembayaran pinjaman PTPTN.
Mastura berkata sejak senarai hitam perjalanan itu dilaksanakan, kira-kira 40 peratus daripada peminjam telah menghubungi PTPTN untuk berunding semula pembayaran balik mereka atau untuk menjelaskan jumlah yang tertunggak.
Walau bagaimanapun, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh memberi amaran keras kepada pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) agar tidak menganiayai mana-mana peminjam dalam usaha mengutip semula hutang pinjaman daripada peminjam.
Bagaimanapun beliau berkata peminjam perlu berbincang terlebih dahulu dengan pihak PTPTN bagi mencari kaedah terbaik atau menstruktur semula pijaman mereka agar bayaran balik dapat dibuat tanpa berlaku sebarang penganiayaan.
Beliau berkata menurut kajian, para peminjam yang gagal membayar balik hutang PTPTN, bukan dalam kalangan peminjam yang tidak mempunyai wang, tetapi mereka terikat dengan pembayaran pinjaman lain seperti ansuran rumah, kereta atau pinjaman peribadi.
"Apa yang penting, kalau kita berhutang mesti kena bayar. Jadi kepada peminjam jika tidak mampu bayar, jumpa pihak PTPTN terlebih dahulu bagi berbincang semula penstrukturan semula pinjaman berkenaan.
"Saya telah arahkan kepada PTPTN jangan aniaya sesiapa pun (peminjam). Kalau ada mana-mana peminjam yang rasa dianiaya, boleh datang jumpa saya secara peribadi dan bagi maklumat lengkap pihak PTPTN yang melakukan perkara tersebut," katanya.
Idris dalam pada itu turut menarik perhatian kepada para peminjam agar membudayakan sikap 'pinjam dan bayar balik' bagi memastikan mereka tidak menghadapi kesulitan dengan pihak yang memberi pinjaman.
Katanya, sejak PTPTN menggunakan pelbagai kaedah pembayaran balik pinjaman termasuk menerusi potongan gaji secara bulanan, jumlah kutipan balik pinjaman itu semakin meningkat.
"Malah, sasaran PTPTN untuk capai kutipan RM2 bilion tahun ini sudahpun tercapai dan kami jangka sehingga akhir tahun ini jumlah kutipan tersebut akan meningkat sehingga RM3 bilion.
"Ini menunjukkan para peminjam semakin sedar tanggungjawab mereka dan budaya ini harus diaplikasi dalam kalangan peminjam yang lain," katanya.
Baca lebih lanjut tentang PTPTN di sini.