logo
logo

    Courses

    Institutions

Perkenal ujian tambahan untuk graduan perubatan

Afterschool

Afterschool

October 5, 2016





Ajakan termasuk rombakan sistem matrikulasi, asingkan institusi di bawah status layak dan pinda Akta Perubatan. doktor-malaysia-di-mesir Malaysia perlu buka pintu kepada semua graduan perubatan Malaysia dan memastikan mereka mengambil peperiksaan kelayakan sebelum jadi doktor, kata Prof Datuk Dr Syed Ahmad Hussein. Beliau berkata pelajar harus dibenarkan untuk belajar di mana-mana universiti yang menawarkan program perubatan tetapi mereka perlu mengambil peperiksaan penilaian selepas menamatkan pengajian. "Saya tidak fikir kita perlu menyenaraikan mereka semua," katanya merujuk sekolah-sekolah luar negara yang diiktiraf dalam Jadual Kedua dalam Akta Perubatan 1971. Dr Syed Ahmad, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency/MQA), telah ditanya sama ada sekolah-sekolah yang tidak memenuhi standard kelayakan perlu dikeluarkan dari senarai tersebut, menyusul aduan beberapa tahun kebelakangan ini bahawa tidak ada hospital latihan yang cukup untuk menghadapi bilangan besar graduan perubatan yang kembali ke Malaysia setiap tahun. "Satu hal yang saya suka tentang sistem ambilan graduan perubatan di Amerika adalah bahawa anda boleh melakukan apa sahaja yang anda suka tetapi jika anda mahu bekerja sebagai doktor, anda harus mengambil peperiksaan kelayakan tertentu," kata Dr Syed Ahmad yang memegang kelayakan sarjana dan ijazah doktor falsafah dalam bidang sains politik dari Universiti Yale. Beliau juga mengajar sains politik di Universiti Sains Malaysia. Majlis Perubatan Malaysia (MMC) sejak beberapa tahun lalu telah mengusulkan cadangan untuk memansuhkan Jadual Kedua Akta Perubatan 1971 dan menggantinya dengan peperiksaan kelayakan perubatan (medical qualifying examination/MQE). Seawal Disember 2010, ramai orang menyokong usulan pindaan Akta Perubatan 1971 yang mewajibkan MQE untuk semua graduan perubatan, kerana masih terdapat siswa yang lulus dari sekolah-sekolah diiktiraf yang dianggap tidak layak bertugas sebagai doktor di Malaysia. Tetapi pada bulan Jun 2011, Kabinet telah memutuskan untuk mengekalkan sistem yang sedia ada. Dr Syed Ahmad berkata, kerajaan tidak sepatutnya membenarkan pengecualian walaupun ibu bapa membantah usulan supaya anak-anak mereka menduduki MQE kerana mereka telah menamatkan pengajian dari sekolah-sekolah yang ditubuhkan di Britain dan Australia. "Orang ramai perlu bersedia untuk menghadapi dunia global. Dunia masih perlukan doktor yang berkualiti tinggi walaupun banyak negara mempunyai lebihan doktor, "katanya. Dr Syed Ahmad berkata isu utama dalam hal ini adalah terdapat terlalu sedikit tempat-tempat untuk melatih pelajar. Dalam jangka masa panjang, semua institusi perubatan perlu memiliki hospital mereka sendiri untuk memenuhi keperluan untuk lebih banyak hospital latihan, katanya. Beliau juga berpendapat usulan MMC yang ingin menambahkan syarat kelayakan masuk minimum calon pelajar perubatan untuk mendapat 5A dalam SPM adalah baik tetapi ada isu-isu lain untuk diperdalami. "Matrikulasi perlu berhenti mengejar pengkhususan, sebaliknya institusi ini perlu berdedikasi untuk mengukuhkan asas pengajian tinggi. Sepatutnya tidak ada program asasi perubatan, harusnya ada kursus pra-universiti sains tulen yang kukuh," kata Dr Syed Ahmad. "Terdapat banyak penyelidikan yang membuktikan bahawa pelajar-pelajar yang datang dari latar belakang STPM atau A-Level menunjukkan prestasi yang agak baik di universiti kerana asas mereka lebih kuat," katanya. Dr Syed Ahmad berkata para lepasan Tingkatan Lima sekolah di Malaysia tidak bersedia untuk menyertai kursus perubatan dan sebaliknya perlu mengukuhkan pengetahuan mereka dalam bidang biologi, kimia dan fizik.