
Afterschool
August 25, 2016
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, larangan sementara penubuhan kolej dan universiti baru akan memastikan pengukuhan sektor pendidikan tinggi negara berada di landasan yang betul.
Naib Canselor dan Presiden Taylor's University, Professor Michael Driscoll berkata, ia adalah tindakan wajar memandangkan terdapat terlalu banyak institusi dalam sektor pendidikan tinggi buat masa ini.
"Terdapat lebih 400 kolej swasta dan lebih 100 universiti swasta dan kolej universiti swasta di Malaysia.
"Kita berdepan risiko yang boleh mengakibatkan sesetengah kolej dan universiti gagal dari segi kewangan, terutamanya IPT-IPT kecil. Institusi-institusi ini tidak akan kekal lama dan pelajarnya akan turut menerima kesan buruk " ujar beliau.
Menurut Driscoll, pemberhentian sementara ini dapat membantu negara ini kekal di landasan yang betul untuk menjadi hab pendidikan serantau.
"Ini akan menggalakkan persaingan yang sihat dalam industri pengajian tinggi tempatan berdasarkan kualiti dan nilai," kata beliau lagi. Tambahnya, ia juga akan meningkatkan minat di kalangan pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di Malaysia.
Timbalan Presiden Persatuan Kolej dan Universiti Swasta, Datuk Dr Parmjit Singh berkata, buat masa ini, kemasukan pelajar tempatan dan antarabangsa di kolej dan universiti swasta semakin menurun.
