logo
logo

    Courses

    Institutions

Kenyataan Bahawa Graduan Universiti di Malaysia Setaraf Pelajar Sekolah Menengah di Denmark yang tercicir Tidak Benar - Profesor Harvard Universiti, Lant Pritchett

Afterschool

Afterschool

January 21, 2017





Semalam kami ada berkongsi artikel bertajuk "Graduan universiti di Malaysia Setaraf Pelajar Sekolah Menengah di Denmark yang tercicir". Kenyataan itu sebelum ini telah dimuat naik oleh satu portal terkenal di Malaysia iaitu Free Malaysia Today (FMT) yang kononnya kenyataan itu disuarakan oleh seorang Profesor Harvard, Lant Pritchett semasa menghadiri forum Dasar Awam Asia 2017 di Subang Jaya.

 

Kenyataan tersebut pantas tersebar dan turut dilaporkan oleh media semasa terkenal seperti Berita Harian, Berita Awani, Sinar Harian. Berita Awani turut mendapatkan maklum balas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengenai perkara itu dengan bertanyakan kewajaran yang dikeluarkan oleh Profesor di universiti berprestij di dunia itu tentang graduan di universiti Malaysia.

 

Semalam, 20 Januari 2017, Free Malaysia Today telah memohon ampun dan maaf dengan menyatakan kenyataan itu sebenarnya tidak dibuat oleh Prof Lant Pritchett. Berikut kami kongsikan kenyataan sebenar Prof Lant,

 

images1

 

Prof Lant hanya menyamakan pelajar sekolah menengah di Denmark yang tercicir dengan graduan universiti di Indonesia bukannya Malaysia. Kenyataan itu berdasarkan kepada kajian beliau ke atas graduan negara berkenaan menerusi International Assessment of Adult Competencies (PIAAC) yang dianjurkan oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) dengan melibatkan 35 buah negara. Beliau menyangkal dakwaan wartawan FMT yang menyatakan beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian. Katanya, mana mungkin beliau berkata sebegitu tanpa merujuk kepada kajian kerana, sebagai penyelidik apa sahaja kenyataan yang dikeluarkan perlu dibuktikan dengan kajian yang mendalam. klik di sini untuk membaca berita penuh oleh FMT yang memohon maaf atas kesilapan itu.

  imagesr  

Beliau turut berkata, wartawan FMT ada bertanyakan mengenai Malaysia tetapi beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan. Walaupun merujuk kepada laporan PISA yang sebelum ini menunjukkan Malaysia terkeluar daripada senarai, tetapi itu bukanlah menunjukkan kualiti sebenar graduan di Malaysia kerana ujian itu hanya melibatkan pelajar sekolah yang berumur 15 tahun sahaja. Ini tentunya tidak boleh membuktikan apa-apa.

 

Sementara itu mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Prof Michael seperti mana yang dilaporkan juga, ianya adalah benar kerana kenyataan tersebut disuarakan selepas membuat kajian yang mendalam ke atas sistem pendidikan negara.

 

Oleh itu, kepada rakyat Malaysia yang tercinta mungkin kesilapan itu membuatkan kita berfikir adakah kajian yang dilakukan oleh Prof Lant itu sudah berlaku di Malaysia atau mungkin bakal berlaku kelak di negara kita. Walau apa sekali pun, seperti kami katakan dalam artikel sebelum ini, ianya terpulang kepada individu kerana anda sendiri yang mencorak masa depan di kemudian hari.

 

Kepada anda pelajar lepasan SPM/setaraf dan STPM/setaraf boleh semak biasiswa terbaru yang ditawarkan. Mungkin peluang anda untuk menjadi salah seorang daripada penerima biasiswa pendidikan itu. Untuk menyemak klik di sini.