
Afterschool
June 20, 2016
Walaupun tidak dianggap kesalahan serius, pegawai bahagian pengambilan pekerja (Human Resources/HR) mengatakan graduan yang memaparkan gambar selfie ditambah manipulasi editor foto (contoh: Camera360) memberikan pandangan pertama yang negatif ketika sesi temu bual dan menganggap mereka tidak jujur, kurang berkeyakinan serta kurang matang.
Pakar Motivasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad, berkata dari aspek psikologi, para graduan yang melakukan hal tersebut mungkin memiliki keyakinan diri yang rendah.
Mengulas lanjut, Fauziah berkata, graduan seharusnya sedar pemilihan sesuatu pekerjaan bukan daripada rupa paras atau personaliti semata mata, tetapi lebih dipengaruhi aspek pencapaian akademik, kemahiran insani dan kepakaran bidang yang diperlukan.
Sehubungan itu, katanya, dari sudut psikologi, individu seperti ini memanipulasi sesuatu tanpa menonjolkan diri sebenar manakala dari sudut patologi mereka takut kepada penolakan masyarakat atau bertindak seperti itu selepas beberapa kali ditolak.
"Bidang pekerjaan adalah realiti, justeru graduan perlu matang dan bijak bertindak bagi merebut peluang demi membina kejayaan masa depan yang cemerlang.
"Individu ini perlu dibantu supaya dapat menonjolkan diri mereka yang sebenar dan belajar cara berhadapan cabaran penolakan masyarakat, justeru saya menasihatkan supaya graduan terbabit mengikuti program meningkatkan keyakinan kendiri," katanya.