
Afterschool
February 18, 2016
Jika kamu merancang untuk menjadi arkitek kerana mahu mengejar glamor, menurut Ar. Norzaini, kamu tidak akan mampu untuk bertahan kerana cabaran yang cukup tinggi untuk menjadi seorang arkitek.
Sebaliknya jika kamu mahu menjadi arkitek kerana minat serta mempunyai ketekunan yang jitu, kamu boleh terus berjaya dan terus bermotivasi dalam melaksanakan kerjaya ini.
Siapa kata arkitek hanya membina bangunan? Arkitek yang berjaya, menurut Ar.Norzaini, juga perlu pandai dalam membina perhubungan yang baik. Arkitek yang berjaya perlu mempunyai skil sosial yang baik seperti skil dalam berkomunikasi, toleransi dan kesabaran.
Dengan skil ini, barulah seorang arkitek akan berjaya untuk menjalankan kerjanya kerana idea dan komunikasi berjalan seiring tanpa ada salahfaham.
Arkitek yang baik tidak hanya pakar dalam satu bidang tetapi pelbagai bidang dan mampu mengimbangkannya dalam hasil kerjanya. Sebuah bangunan memerlukan sains untuk membinanya tetapi dalam masa sama memerlukan seni untuk meningkatkan nilai aestetikanya.
Kata Ar. Norzaini lagi, keseimbangan ini yang dapat menjadikan sebuah bangunan itu cantik dan dalam masa sama mampu berfungsi dengan baik.
Dalam bidang ini, persaingan amat sengit, dan berkemungkinan rekacipta anda tidak sehebat arkitek yang lain.
Untuk berjaya dalam bidang ini, menurut Ar. Norzaini, kita seharusnya mengambil inspirasi dari rekacipta orang lain dan bukannya mencemburui dan membuat musuh.
Mungkin jika kita berkawan baik dan bertukar-tukar pandangan dengan arkitek lain, kita juga mampu menghasilkan sebuah arkitektur yang indah dan bagus.
Menepati masa juga sangat penting untuk memastikan klien terus mempercayai kita.