logo
logo

    Courses

    Institutions

Anak Penoreh Getah Raih Keputusan Cemerlang 10A PT3

Afterschool

Afterschool

December 21, 2016





Bergelar sebagai anak penoreh getah tidak menjadikan Elliss Elizze Lukas, 15 tahun gagal dalam pelajarannya. Segala kepayahan ibu bapanya tidak sia-sia apabila Ellis memperolehi keputusan cemerlang 10A dalam Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Stephens, Sabah.

  eliss-elizze-lukas-cemerlang-10a-pt3-sabah-1  

Lukas Ransangan, 55, ketika ditemu bual oleh Harian Metro berkata, dia menghantar anaknya ke sekolah untuk mengambil keputusan PT3 selepas selesai menoreh getah bersama isterinya awal pagi semalam.

 

“Kebiasaannya, setiap hari kami mula menoreh getah pada jam 6 pagi dan selesai menoreh pada jam 10 pagi tetapi hari ini, saya bersama isteri mula menoreh pada jam 4 pagi dan selesai pada jam 8 pagi untuk menemani Eliss ke sekolah untuk mengambil keputusan PT3.

 

“Saya tidak menyangka Eliss mendapat keputusan A dalam setiap subjek yang diambilnya termasuklah Bahasa Kadazan Dusun,” katanya yang berketurunan Kadazan Dusun, Sabah.

 

Menurutnya, sebaik melihat sendiri keputusan itu, Lukas terkejut dan segera menghubungi isterinya di rumah untuk memberitahu mengenai berita baik tersebut.

 

“Walaupun belum mempunyai masa untuk berehat, saya gembira dan perasaan penat itu hilang serta-merta,” katanya.

 

Sementara itu, ditanya mengenai cita-cita, Eliss berhasrat untuk menjadi seorang doktor pakar bedah pada masa hadapan dan mahu berkhidmat di tanah air.

 

“Ini adalah hadiah kepada keluarga saya yang bertungkus-lumus membiayai perbelanjaan sekolah saya dan menghantar ke sekolah tiap hari,” ujarnya tersenyum gembira.