
Afterschool
January 3, 2017
Hari pertama sesi persekolahan bagi tahun 2017 di seluruh negara telah pun bermula. Namun, bagi sesetengah negeri yang dilanda banjir seperti Kelantan dan Terengganu, sesi persekolahan belum lagi bermula.
Di kelantan, 30 buah sekolah di daerah Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai dan Tumpat terpaksa ditutup akibat banjir. Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menerusi kenyataan rasmi semalam berkata, "Sejumlah 30 buah sekolah itu masih belum memulakan hari pertama persekolahan bagi tahun 2017 akibat bencana banjir. Penutupan sekolah tersebut menjejaskan seramai 9,501 pelajar, 958 guru serta staf sokongan sekolah".
Sementara itu, keseluruhan pelajar yang terjejas di daerah Pasir Mas adalah 7,746 pelajar daripada 18 buah sekolah, 953 pelajar daripada 5 buah sekolah di Tanah Merah, 588 pelajar daripada 6 sekolah di Kuala Krai dan 214 pelajar dari sekolah sekitar daerah Tumpat.
Sekolah-sekolah yang telah dikenal pasti terjejas di Pasir Mas adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru, SK Rahmat, SK Gual Tokdeh, SK Rantau Panjang, SK Lubok Stol, SK Sri Rantau Panjang 2, SK Kok Pauh, SK Sri Rantau Panjang 1, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Al Falah Siram, SABK Diniah Bongor, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khay Boon, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, SMK Tiang Chandi, SMK Gual Tinggi, SK Kedai Tanjong, SK Bakong, SK Gual Sitok dan SMK Gual Periok.
Di Kuala Krai pula adalah SK Pemberian, SK Bahagia, SK Ladang Taku, SK Pasir Kelang, SK Kuala Nal and SABK Saadatul Qura manakala di Tanah Merah adalah SMK Ladang Kerilla, SK Ladang Kerilla, SK Sokor, SK Kampung Panjang dan SK Tebing Tinggi serta di daerah Tumpat, satu sekolah yang terjejas iaitu SK Pulau Beluru.
Kenyataan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan ini berikutan bencana banjir yang melanda negeri itu. Penutupan sekolah dibuat bagi memastikan keselamatan pelajar dan guru-guru tidak terancam akibat bencana alam ini.